Ke Atas

Runtuhan ECRL di MRR2: CIDB mulakan siasatan

SHAH ALAM – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan memastikan kontraktor yang terlibat dalam pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) arah Batu Caves tidak terlepas daripada tindakan tegas sekiranya wujud pengabaian aspek keselamatan sehingga mengakibatkan kemalangan baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, buat masa ini lembaga tersebut sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Menurutnya, siasatan dilakukan di bawah 34C(1) CIDB 1994 (Akta 520). 

“Kita nak pastikan CIDB ambil langkah tegas kepada kontraktor dan supaya pembinaan diberhentikan serta merta dan tidak boleh buat apa-apa sehingga aspek keselamatan ditambah baik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kelengkapan ‘Launching Nose’ Jambatan Panel Keluli Bermodular (JPKB) Jabatan Kerja Raya (JKR), hari ini.

‘Launching Nose’ merupakan komponen penting dalam operasi pemasangan JPKB yang berfungsi sebagai panduan dan pemula keseluruhan struktur jambatan untuk ditolak merentasi sungai.

Terdahulu beliau berkata, CIDB telah mengarahkan projek pembinaan dihentikan serta merta selepas kejadian bagi memastikan aspek keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin.

“Arahan pembinaan dihentikan  sehingga punca kejadian dikenal pasti dan aspek keselamatan ditambah baik dan terjamin,” katanya lagi.

Dalam kejadian itu, speorang pemandu wanita nyaris maut selepas kereta yang dipandunya dihempap tiang perancah projek pembinaan projek ECRL di MRR2 Batu Caves berdekatan tol Gombak pada Selasa lalu.

Susulan kejadian, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selaku pemilik projek ECRL  memaklumkam kerja pembinaan yang melibatkan struktur sementara “temporary steel canopy” telah dihentikan.

Struktur sementara “temporary steel canopy” tersebut dibina bagi menghalang serpihan pembinaan daripada jatuh ke laluan jalan raya dan memudahkan pelaksanaan kerja-kerja jalan di bawah jambatan (Road Under Bridge RUB) #16.

Kerja-kerja pembinaan RUB#16 telah disiapkan pada Oktober 2025 dan proses berkaitan pembukaan struktur sementara dijadualkan bermula pada 20 November lalu selepas menerima kelulusan agensi terlibat. – MalaysiaGazette

Sumber: https://malaysiagazette.com/

Pautan Berkaitan