SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak memberi masalah kepada rakyat.
Selangor Royal Office (SRO) dalam hantaran pada Facebook hari ini berkata baginda mahu pembinaan projek berkenaan mengambil kira impak sosial terhadap kawasan penempatan kampung tradisi dan Orang Asli; alam sekitar seperti hutan simpan serta kawasan tadahan air.
Ia juga perlu jauh dari bekalan sumber air mentah seperti empangan serta tidak melalui kawasan berisiko di Permatang Kuartza (limestone ridge).
“Baginda mahu agar setiap projek pembangunan di Selangor sentiasa mengambil kira masalah yang disebutkan tadi demi memastikan kesejahteraan rakyat pada masa hadapan,” menurut hantaran itu.
Sultan Selangor hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Pada pertemuan itu, Amirudin menyembah maklum dan memberi taklimat kepada baginda berkenaan penetapan jajaran projek ECRL di negeri ini.
Turut menghadap, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Dr Nor Fuad Abdul Hamid.
Sebelum ini, kerajaan Selangor tidak bersetuju dengan cadangan projek ECRL yang akan dibina berdasarkan jajaran asal yang melalui kawasan Gombak dan Serendah.