Dungun, Terengganu, 2 Jun: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatatkan satu lagi milestone dengan penembusan terowong tunggal ECRL enam bulan lebih awal dari jadual asal iaitu Terowong Dungun di Terengganu yang merangkumi 871 meter panjang.
Letupan terakhir di Terowong Dungun pada 29 Mei 2021 menembusi halangan yang terletak 12 meter dari pintu masuk terowong. Pencapaian di Terowong Dungun adalah hasil usaha kira-kira 641,520 jam masa bekerja dengan pelaksanaan kaedah gerudi dan letup terowong menembusi batu luluhawa sederhana schist (moderately weathered schist).
Kerja-kerja penggalian bagi Terowong Dungun telah mencapai tahap kemajuan 97.4 peratus sebelum aktiviti penembusan dilakukan, sementara lapisan kekal terowong telah mencapai kemajuan memberangsangkan iaitu 702 meter panjang. Dengan ketinggian 11.8 meter dan kelebaran 12.9 meter, Terowong Dungun dibina untuk mengelak penebangan terbuka dan memelihara hutan simpan apabila melintasi kawasan Kuala Dungun.
Pencapaian ini menjadi lebih bermakna apabila Terowong Dungun pernah menjadi tapak pelancaran semula projek ECRL pada 25 Julai 2019. Tambahan pula, penembusan terowong di Terowong Dungun telah dilakukan kurang dari dua bulan selepas penembusan terowong ECRL yang pertama pada 9 April 2021 iaitu Terowong Paka yang merangkumi panjang 1.1 km. Negeri Terengganu akan mempunyai lima buah terowong ECRL apabila projek siap kelak.
Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata hasil daripada usaha keras dan kerjasama oleh lebih kurang 100 kakitangan ECRL dari semua peringkat dalam melaksanakan kerja-kerja pembinaan terowong yang telah membawa kepada penembusan Terowong Dungun lebih awal dari jadual dengan jangkaan kerja-kerja keseluruhan infrastruktur untuk terowong siap sepenuhnya pada suku kedua tahun 2022.
“Kerja keras wargakerja ECRL termasuk para jurutera, perancang dan pekerja pembinaan di Terowong Dungun harus dipuji kerana kerja-kerja terowong yang telah digali sedalam 98,111 meter padu tanah dan batuan berjaya dilakukan secara selamat dengan pergerakkan tanah yang minima,” katanya dengan jangkaan bahawa Terowong Dungun siap beberapa bulan lebih awal sekiranya tiada perkara-perkara yang melewatkan proses pembinaan berlaku.
Tan Sri Mohd Zuki turut berkata bahawa projek ECRL mempunyai 58 buah terowong yang dengan panjang dan lanskap yang berbeza untuk dibina di sepanjang seksyen-seksyen jajaran ECRL yang merangkumi 665 km panjang. Namun, kerjasama yang padu dan perkongsian pengetahuan antara MRL dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) akan melancarkan kerja-kerja penggalian terowong dan memastikan prestasi kejuruteraan adalah seperti yang dijadualkan atau lebih awal dari jadual.
“Kami berasa bangga kerana projek ECRL masih mencapai tahap kemajuan lebih awal dari jadual iaitu 22.62 peratus pada bulan Mei 2021 walaupun dalam keadaan pandemik yang telah mengurangkan waktu bekerja dan tenaga kerja di tapak pembinaan,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Pengarah Urusan CCC-ECRL, Bai Yinzhan yang juga merupakan kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pelaksanaan projek (EPCC) yakin bahawa kakitangan ECRL dapat melakukan kerja dengan baik walaupun dibawah pelaksaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan mencapai tahap kemajuan yang amat memberangsangkan sambil memastikan keselamatan di tapak pembinaan dijaga.
“Kakitangan kami telah memberikan usaha yang berterusan terhadap kontraktor-kontraktor tempatan dan rakan kongsi projek Bumiputera bagi memastikan ketersediaan tenaga kerja, bahan-bahan dan jentera-jentera binaan apabila diperlukan. Kami berterima kasih terhadap sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh subkontraktor-subkontraktor serta kepada kakitangan Seksyen 4 terhadap dua pencapaian yang amat membanggakan dalam tempoh dua bulan ini,” kata Bai.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.), adalah pemilik projek dan aset ECRL sementara CCC-ECRL merupakan kontraktor EPCC. Dijangka siap sepenuhnya pada bulan Disember 2026, projek ECRL yang merangkumi rangkaian rel sepanjang 665-km akan merentasi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. ECRL menjimatkan masa perjalanan dan menghubungkan Kota Bharu dengan ITT Gombak dalam masa 4 jam.