KUALA LUMPUR: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRLSB) dan China Communications Construction ECRL Sdn Bhd (CCCC) hari ini, berkata mereka tidak melantik ejen atau pelobi rasmi sebagai pemudahcara bagi prakelayakan kontraktor tempatan untuk 40 peratus pakej sivil projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka mengesahkan tiada kontrak bagi kerja sivil ECRL akan diberikan secara terus.
’’Mana-mana syarikat yang mendakwa mereka telah dijanjikan kontrak sebagai kontraktor utama projek ECRL menerusi pemberian secara terus adalah tidak benar sama sekali,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu sebagai respons terhadap dakwaan yang tular di sosial media, kononnya ejen atau pelobi menawarkan peluang kepada kontraktor Kelas G3-G6 untuk menyertai kontrak kerja sivil itu dengan perlu berdaftar dengan mereka sebagai subkontraktor.
Mereka juga mendakwa kontrak itu akan ditawarkan secara terus kepada syarikat tertentu.
Penyertaan 40 peratus kontraktor tempatan dalam kerja sivil ECRL terkandung dalam kontrak Perjanjian Tambahan bagi Kejuruteraan, Pemerolehan, Pembinaan dan Pelaksanaan yang ditandatangani pada 12 April, katanya.
Menurut kenyataan itu, MRLSB dan CCCC sedang melaksanakan PraKelayakan (Pre-Q) bertujuan membolehkan semua kontraktor yang memiliki lesen Gred 3 hingga Gred 7 dan penarafan minimum 2 bintang dan berdaftar dengan CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia) untuk berdaftar dan disenarai pendek sebagai penender berpotensi untuk kerja sivil ECRL.
“Oleh itu, semua syarikat pembinaan tempatan yang tulen dan berkelayakan dan berminat disenarai pendek sebagai penender berpotensi bagi pakej kerja sivil ECRL digalakkan menyertai Pre-Q dan mengemukakan permohonan mereka secara terus di kaunter CCCC di Pusat Konvensyen Sime Darby pada 29 dan 30 Mei,” katanya.
MRLSB dan CCCC juga menggesa semua kontraktor yang telah menerima tawaran daripada pihak yang mendakwa sebagai ejen atau pelobi untuk melaporkannya kepada MRLSB atau CCCC.
“Tindakan undang-undang juga akan dipertimbangkan sekiranya didapati perlu untuk melindungi hak kami,” katanya.
Sumber : www.bharian.com.my