Ke Atas

Tiada operasi letupan dijalankan pada hujung minggu – MRL

SHAH ALAM – Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), selaku pemilik Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menegaskan tiada operasi letupan yang dijalankan pada Sabtu dan Ahad di kawasan berhampiran Desa Melor, Serendah seperti yang dilaporkan sebuah portal berita.

MRL dalam satu kenyataan berkata, letupan bagi pembinaan laluan terowong atau Adit di kawasan itu hanya dilakukan dari jam 8 pagi hingga 6 petang selama lima hari bermula Isnin.

Menurutnya, terdapat kerja-kerja pembinaan Adit No.4 berhampiran Desa Melor ketika ini namun jarak kawasan perumahan yang paling hampir dari lokasi Adit No.4 adalah sejauh kira-kira 300 meter dan bukan 200 meter seperti dilaporkan.

“Pihak kami juga ingin memaklumkan bahawa kemajuan pengorekan Adit No.4 telah mencapai kedalaman 800 meter daripada 813 meter yang dirancang.

“Ini bermakna lokasi letupan terkini sehingga ke kawasan perumahan Desa Melor yang hampir dengan kawasan yang dalam pembinaan oleh projek ECRL adalah lebih daripada 1,000 meter (1 kilometer),” jelasnya.

Pada Khamis, sebuah media melaporkan kerja-kerja pembinaan terowong kereta api laju bagi penumpang sejak setahun lalu telah menyebabkan kira-kira 60 daripada 848 unit kediaman terjejas dengan kesan keretakan pada siling, dinding dan struktur utama.

Retakan dan rekahan itu dipercayai berpunca daripada aktiviti letupan bagi pembinaan terowong landasan ECRL, kira-kira 200 meter dari kawasan perumahan itu.

Ujar kenyataan itu lagi, bilangan letupan di Adit No.4 pada setiap hari kerja juga telah dihadkan kepada maksimum dua kali sahaja dan perkembangan terbabit turut bergantung kepada jadual kerja bagi tujuan tersebut.

Katanya, projek ECRL akan mengambil data gegaran dan ledakan udara setiap kali letupan dijalankan.

“Bagi bacaan gegaran dan ledakan tersebut, pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah pun menetapkan bahawa bacaan untuk gegaran (vibration) tidak boleh melebihi 3 mm/s manakala bagi bacaan ledakan udara yang terhasil daripada aktiviti letupan mestilah tidak boleh melebihi 120 dB.

“Bacaan yang berkaitan juga dihantar kepada pihak JMG bagi tujuan pemantauan dari semasa ke semasa namun, berdasarkan kepada rekod yang sedia ada, Projek ECRL telah mematuhi perimeter yang disyaratkan oleh organisasi itu,” ujarnya.

Jelasnya, kontraktor utama Projek ECRL telah mengambil inisiatif dalam mewujudkan kerjasama bersama pihak persatuan penduduk di kawasan tersebut dalam menangani masalah keretakan pada struktur rumah.

Tambahnya, satu memorandum persefahaman telah ditandatangani antara kontraktor utama Projek ECRL dengan pihak persatuan penduduk berkenaan pada 18 November lalu.

Ujarnya, antara kandungan memorandum tersebut adalah Projek ECRL bersetuju untuk menyediakan sejumlah dana kepada pihak persatuan sebagai bantuan khas bagi meringankan beban penduduk yang menghadapi masalah keretakan pada kediaman mereka.

“Untuk makluman, kerja-kerja pembinaan ECRL berhampiran Desa Melor telah mengambil kira impak yang paling minimum.

“Projek ini juga mematuhi garis panduan dan syarat termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Pelan Kawalan Hakisan dan Endapan (ESCP),” katanya.

Sumber: www.sinarharian.com.my

Pautan Berkaitan